Saturday, February 16, 2008

PEMBELAJARAN MINGGU KE-6 : PENGURUSAN MAKMAL KOMPUTER

Permulaan set induksi yang menarik oleh Cik Chin menyentuh berkaitan dengan sambutan penggunaan makmal komputer oleh guru-guru di sekolah. Hakikat yang berlaku di sekolah-sekolah, penggunaan makmal komputer kurang mendapat sambutan atas beberapa faktor, antaranya ialah :

- lokasi makmal komputer berjauhan dari kelas
- perjalanan ke makmal komputer memakan masa yang agak panjang
- makmal komputer sesak digunakan oleh pengguna-pengguna lain

Penekanan diberikan kepada tahap keselamatan di dalam makmal komputer. Ianya terbahagi kepada 2 aspek iaitu :

- keselamatan peralatan
- keselamatan pengguna

Seterusnya kami berpecah kepada beberapa kumpulan kecil yang mengandungi 4 orang ahli kumpulan. Kumpulan saya dianggotai oleh pakar-pakar IT iaitu Shahnaz, Radhi dan Nizam. Tugasan yang diberikan ialah : Perancangan mempromosikan Makmal Komputer di sekolah”. Kami memilih untuk mengadakan “Permainan Menguji Minda” secara terbuka kepada murid-murid untuk menarik minat mereka terhadap makmal komputer. Hasil kerja ini akan dibentangkan pada minggu hadapan di dalam kelas yang mengambil masa 20 minit. Kita akan saksikan minggu hadapan.

Persoalan :
1. Mengapa keadaan makmal komputer di sekolah tidak menarik minat murid sedangkan mereka lebih berminat mengunjungi pusat-pusat cyber (cyber cafe) di luar sekolah?
2. Apakah STRATEGI yang paling efektif menarik minat murid terhadap penggunaan makmal komputer di sekolah?

PEMBELAJARAN MINGGU KE-5 : STRATEGI PPSMI & PEMBELAJARAN MASTERI

Kelas hari minggu ini bermula agak lewat daripada biasa. Saya bersama 3 orang sahabat sempat lagi bersarapan di Kantin Fakulti Sastera sebelum kelas bermula. Akibatnya kami pula yang lewat ke kelas. Satu tabiat yang tidak harus dicontohi oleh sahabat-sahabat yang lain.

Hari ini kelas lebih menumpukan kepada pengukuhan kepada Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Pada minggu yang lepas, Cik Chin menerangkan konsep PPSMI, manakala minggu ini penumpuan diberikan kepada Plan Tindakan & Strategi PPSMI di sekolah. Perbincangan bermula dengan tindakan meningkatkan keberkesanan PPSMI yang menjurus kepada 9 Tindakan Diagnostik yang telah digubal oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia pada 16 Mei 2006. Kelas diteruskan lagi dengan pembentangan 7 Strategi peningkatan keberkesanan PPSMI sebagaimana berikut :

Strategi 1 : Peningkatan profesionalisme tahap penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan guru

Strategi 2 : Meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris guru

Strategi 3 : Meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris murid

Strategi 4 : Mewujudkan suasana yang menggalakkan kelicinan PPSMI

Strategi 5 : Meningkatkan kefahaman konten Sains dan Matematik di kalangan murid

Strategi 6 : Meningkatkan motivasi guru dan murid terhadap PPSMI

Strategi 7 : Memantapkan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah

Untuk keterangan yang lebih jelas dan berkesan, bolehlah merujuk ke laman web berikut : http://www.tutor.com.my/tutor/etems.

Pembelajaran diteruskan lagi dengan penjelasan dari Cik Chin berkaitan dengan Pembelajaran Masteri yang pernah dipersoalkan oleh saya dalam blog minggu sebelumnya. Akhirnya kami baru memahami apa yang dimaksudkan dengan Pembelajaran Masteri.

Persoalan :
1. Bagaimanakah meningkatkan motivasi guru dan murid secara berterusan terhadap PPSMI?
2. Apakah statistik penilaian/pentaksiran hari ini menunjukkan peningkatan murid dalam penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan murid?