Friday, November 6, 2009

INTERNATIONAL CONFERENCE & EXHIBITION : CRIMINALISE WAR

as-Salam alaykum dan salam sejahtera,

Terlalu banyak yang boleh diperkatakan berkenaan International Conference & Exhibition; Criminalise War minggu lalu. Taip sahaja di internet dan anda akan mendapati liputan media tempatan dan antarabangsa berkenaan usaha ini. Pelbagai emosi dan perasaan bermain sepanjang saya mengikuti program selama empat hari ini. Sedih, simpati, ngeri, bimbang, syukur, gembira, kagum, besar hati, rendah diri, benci, dan semangat menyelubungi di samping pengetahuan-pengetahuan baru berkaitan undang-undang antarabangsa. Walau bagaimanapun, pameran yang mengiringi konferens kurang memuaskan kerana terlalu sedikit yang dipaparkan. Bentuk-bentuk penyeksaan yang dipaparkan memang mengerikan dan tidak berperikemanusiaan. Menurut seorang bekas tahanan Guantanamo Bay dalam bicaranya, ia hanyalah « tip of the iceberg ».
Setiap pemimpin ada kekuatan dan kelemahannya. Namun sesuatu yang harus dicemburui ialah perhatian penuh konsisten oleh Tun Dr. Mahathir dan isteri terhadap semua sesi pembentangan, sidang suruhanjaya jenayah perang hari ketiga dan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur hari keempat, pada tahap usia sedemikian dan berkaitan isu yang serius begini. Jadual aturcara boleh dilihat di perdana4peace. Semua aturcara berjalan dengan baik kecuali pembentangan oleh Dato Seri Rais Yatim yang digantikan oleh Datuk A. Kadir Jasin. Persidangan ini turut disertakan dengan persembahan oleh anak-anak warga Iraq yang menyentuh emosi dan puisi oleh seorang anak kecil Malaysia, selain lagu dalam pembentangan Cynthia McKinney, bekas anggota wanita Kongres Amerika Syarikat yang melemparkan soalan kepada Zionis; So Who Is Your God?
Pada pendapat saya, latar falsafah penjenayahan perang ini belum diperbahaskan secara menyeluruh. Buktinya, isu perang balas atau perang pertahanan dibangkitkan beberapa kali secara tidak langsung dalam sesi soal jawab sepanjang persidangan. Begitu juga, soal perang pembukaan atau perang pembebasan yang tidak dibahaskan kerana barangkali berlawanan dengan arus persidangan. Antara yang harus diperhatikan juga ialah perang masa lalu yang berbeza dengan perang masa kini. Demikan juga perang yang melangkaui golongan tentera sehingga membabitkan orang awam. Semua ini harus jelas sebelum pemikiran penjenayahan perang itu dapat diterima dengan baik.

Dalam Islam, persoalan jihad (perjuangan), qital (peperangan) dan al-qatl (pembunuhan) adalah jelas dan mempunyai perbezaan-perbezaan yang sudah digariskan. Hari ini ia diputarkan oleh kuasa besar dan media yang menyebabkan kekeliruan di kalangan non muslim dan menyamakan kesemuanya sekali dalam propaganda keganasan. Penjelasan perkara-perkara tersebut sebenarnya telah dinyatakan oleh sekian ramai ilmuwan Islam.

Bagi umat Islam, baginda Nabi Muhammad adalah insan yang diutuskan Allah membawa rahmat untuk seluruh alam universal ini. Umat Islam percaya bahawa baginda adalah rahmat anugerah dan Islam adalah agama as-Salam (kesejahteraan). Para ilmuwan dan sarjana Islam telah memelihara segala warisan baginda dan menyelidik setiap sudut berkaitan warisan tersebut sehingga terhasilnya khazanah penyelidikan yang sangat dahsyat berkenaannya. Ia dinamakan sebagai ilmu hadis dan penyelidikan warisan baginda Nabi Muhammad. Segala tutur bicara baginda berkaitan perjuangan, peperangan dan pertahanan pula telah direkodkan oleh generasi kemudian berdasarkan metodologi yang kukuh. Segala yang berkaitan dengan peribadi dan warisan baginda tidak diperkatakan sesuka hati tanpa bukti dan rujukan yang tepat.

Hasilnya, umat Islam semakin meyakini bahawa baginda meninggalkan warisan yang membina peradaban rahmat, kesejahteraan dan keamanan. Umat Islam tetap positif bahawa usaha keamanan dan kedamaian harus dilakukan dan mesti diteruskan walau berhadapan apa jua keadaan jenayah yang berlaku di dunia ini.

Islam agama kesejahteraan dan ia tidak pernah mendorong kezaliman atau jenayah.

(ARTIKEL SUMBANGAN USTAZ HUSAINI MADINAH)

No comments: