Friday, November 6, 2009

PELBAGAIKAN KAEDAH P&P

IKUTI pandangan Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Dr Saedah Siraj, mengenai keperluan kaedah pengajaran dan pembelajaran berbeza bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Khairina Yasin.

KEGAGALAN atau ketidakupayaan sebahagian murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas 3M adalah antara cabaran getir dunia pendidikan hari ini. Biarpun sukar mengenal pasti angka sebenar murid dikategorikan bermasalah itu setakat ini, ramai pakar pendidikan bimbang implikasinya yang mungkin boleh menyebabkan mereka hilang minat ke sekolah. Jika kelemahan murid menguasai 3M ini tidak diatasi sejak Tahun Satu, masalah itu akan berlarutan apabila mereka memasuki Tahun Dua dan seterusnya. Di manakah silap atau apakah kekurangannya? Dalam memperbetulkan keadaan, tidak dinafikan banyak usaha dilaksanakan Kementerian Pelajaran bagi menangani masalah penguasaan 3M ini di kalangan murid.



Kaedah P&P berbeza perlu meningkatkan penguasaan 3M di kalangan murid.

Antaranya mengadakan kelas pemulihan, kelas khas untuk kanak-kanak istimewa, latihan guru berpendidikan khas, perluasan kempen membaca dan penempatan kaunselor di setiap sekolah. Namun, keberkesanan pelaksanaannya tidak menyeluruh dan belum mampu memberi perubahan besar terhadap perkembangan penguasaan kemahiran 3M di kalangan murid terbabit.

Dalam sesetengah keadaan, kurangnya komitmen pengurusan sekolah antara penyebab pendidikan murid tergolong dalam kategori ini, gagal mencapai matlamatnya. Menyisihkan murid terbabit daripada mengikuti pendidikan seperti rakan lain hanya akan menyulitkan langkah mengatasi masalah mereka kemudian hari.




Ada juga yang menegaskan kepentingan peranan ibu bapa dalam membantu anak menguasai kemahiran asas berkenaan, namun ia tetap tidak membebaskan guru daripada membantu murid yang lemah itu. Berdasarkan kajian sebelum ini, keperluan langkah penyaringan dan pengesanan awal murid yang belum menguasai 3M penting bagi mengenal pasti pelaksanaan program pemulihan bersesuaian dengan mereka. Langkah awal itu membolehkan murid dikelompokkan berdasarkan punca sebenar kelemahan mereka menguasai 3M sama ada akibat persekitaran, pemakanan atau kesihatan.

Pemerhatian mendapati murid lemah 3M boleh dikelompokkan lima kategori, iaitu anak Orang Asli, kanak-kanak istimewa atau pendidikan khas, murid menghadapi masalah psikologi, kanak-kanak terbiar dan mereka yang sememangnya berketurunan tidak boleh membaca atau dungu. Setiap kelompok murid terbabit memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) berbeza bagi memastikan kelemahan pembelajaran mereka dapat diatasi secara berperingkat. Pencarian kaedah P&P mengikut kelompok perlu ditekankan Kementerian Pelajaran kerana jika dilaksanakan secara tunggal, ia tidak boleh diguna atau diaplikasikan kepada semua murid yang gagal menguasai 3M. Keadaan ini wajar dikaji semula di peringkat akar umbi dengan merujuk faktor mempengaruhi masalah penguasaan 3M dalam setiap kelompok murid terbabit sebelum menentukan kaedah P&P yang tepat dan bersesuaian.

Dalam kes anak Orang Asli contohnya, kesukaran memberi fokus kepada apa yang diajar menyebabkan mereka gagal menguasai 3M. Hubungan antara pemikiran dengan pergerakan mata agak lambat berikutan wujudnya gangguan yang menjejaskan fokus mereka terhadap pembelajaran. Bagi menanganinya, penggunaan alat muzik dalam proses P&P disifatkan antara kaedah sesuai untuk meningkatkan penguasaan kemahiran asas itu di kalangan anak Orang Asli. Ini kerana mereka amat peka terhadap deria pendengaran. Oleh itu, alat muzik adalah perantara sesuai diguna pakai guru bagi menarik tumpuan kelompok murid masyarakat minoriti itu terhadap pengajaran guru. Malah, banyak kajian luar negara membuktikan penggunaan alat muzik mengikut etnik atau budaya berjaya membangunkan kemahiran 3M di kalangan murid sekolah.


PENGAJARAN menerusi lagu atau alat muzik sesuai untuk murid Orang Asli.

Bagi kes murid istimewa atau pendidikan khas, kepekaan ibu bapa terhadap proses pengembangan anak dituntut bagi membolehkan kelemahan mereka dikesan sejak awal. Murid disleksia antara kelompok murid yang gagal menguasai 3M, namun disebabkan pengetahuan ibu bapa yang rendah mengenai penyakit itu menyebabkan masalah berkenaan tidak dipandang serius. Malah, ramai ibu bapa termasuk golongan profesional cuba menafikan anak mereka berdepan masalah berkenaan hingga merasakan tidak perlu dibantu. Murid disleksia melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza terutama berkaitan pembelajaran. Sebagai contoh, mereka tidak dapat diajar abjad dengan cepat kerana ada huruf yang akan ditinggalkan disebabkan pemikiran tidak dapat 'membaca' huruf berkenaan. Dalam usaha menangani masalah ini, kaedah P&P haruslah lebih khusus dan perlu dipraktikkan guru yang mahir mengenainya.

Selain guru dan murid, keberkesanan program pemulihan ini memerlukan kerjasama dan penggemblengan tenaga semua pihak, termasuk sekolah dan ibu bapa. Apa yang penting, pelaksanaan tindakan progresif menangani masalah penguasaan 3M di kalangan murid ini sepatutnya sejak awal lagi, bukan pada peringkat mereka sudah terlalu jauh tercicir.

(petikan diambil dari Berita Harian : 4 nov 2009)

INTERNATIONAL CONFERENCE & EXHIBITION : CRIMINALISE WAR

as-Salam alaykum dan salam sejahtera,

Terlalu banyak yang boleh diperkatakan berkenaan International Conference & Exhibition; Criminalise War minggu lalu. Taip sahaja di internet dan anda akan mendapati liputan media tempatan dan antarabangsa berkenaan usaha ini. Pelbagai emosi dan perasaan bermain sepanjang saya mengikuti program selama empat hari ini. Sedih, simpati, ngeri, bimbang, syukur, gembira, kagum, besar hati, rendah diri, benci, dan semangat menyelubungi di samping pengetahuan-pengetahuan baru berkaitan undang-undang antarabangsa. Walau bagaimanapun, pameran yang mengiringi konferens kurang memuaskan kerana terlalu sedikit yang dipaparkan. Bentuk-bentuk penyeksaan yang dipaparkan memang mengerikan dan tidak berperikemanusiaan. Menurut seorang bekas tahanan Guantanamo Bay dalam bicaranya, ia hanyalah « tip of the iceberg ».
Setiap pemimpin ada kekuatan dan kelemahannya. Namun sesuatu yang harus dicemburui ialah perhatian penuh konsisten oleh Tun Dr. Mahathir dan isteri terhadap semua sesi pembentangan, sidang suruhanjaya jenayah perang hari ketiga dan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur hari keempat, pada tahap usia sedemikian dan berkaitan isu yang serius begini. Jadual aturcara boleh dilihat di perdana4peace. Semua aturcara berjalan dengan baik kecuali pembentangan oleh Dato Seri Rais Yatim yang digantikan oleh Datuk A. Kadir Jasin. Persidangan ini turut disertakan dengan persembahan oleh anak-anak warga Iraq yang menyentuh emosi dan puisi oleh seorang anak kecil Malaysia, selain lagu dalam pembentangan Cynthia McKinney, bekas anggota wanita Kongres Amerika Syarikat yang melemparkan soalan kepada Zionis; So Who Is Your God?
Pada pendapat saya, latar falsafah penjenayahan perang ini belum diperbahaskan secara menyeluruh. Buktinya, isu perang balas atau perang pertahanan dibangkitkan beberapa kali secara tidak langsung dalam sesi soal jawab sepanjang persidangan. Begitu juga, soal perang pembukaan atau perang pembebasan yang tidak dibahaskan kerana barangkali berlawanan dengan arus persidangan. Antara yang harus diperhatikan juga ialah perang masa lalu yang berbeza dengan perang masa kini. Demikan juga perang yang melangkaui golongan tentera sehingga membabitkan orang awam. Semua ini harus jelas sebelum pemikiran penjenayahan perang itu dapat diterima dengan baik.

Dalam Islam, persoalan jihad (perjuangan), qital (peperangan) dan al-qatl (pembunuhan) adalah jelas dan mempunyai perbezaan-perbezaan yang sudah digariskan. Hari ini ia diputarkan oleh kuasa besar dan media yang menyebabkan kekeliruan di kalangan non muslim dan menyamakan kesemuanya sekali dalam propaganda keganasan. Penjelasan perkara-perkara tersebut sebenarnya telah dinyatakan oleh sekian ramai ilmuwan Islam.

Bagi umat Islam, baginda Nabi Muhammad adalah insan yang diutuskan Allah membawa rahmat untuk seluruh alam universal ini. Umat Islam percaya bahawa baginda adalah rahmat anugerah dan Islam adalah agama as-Salam (kesejahteraan). Para ilmuwan dan sarjana Islam telah memelihara segala warisan baginda dan menyelidik setiap sudut berkaitan warisan tersebut sehingga terhasilnya khazanah penyelidikan yang sangat dahsyat berkenaannya. Ia dinamakan sebagai ilmu hadis dan penyelidikan warisan baginda Nabi Muhammad. Segala tutur bicara baginda berkaitan perjuangan, peperangan dan pertahanan pula telah direkodkan oleh generasi kemudian berdasarkan metodologi yang kukuh. Segala yang berkaitan dengan peribadi dan warisan baginda tidak diperkatakan sesuka hati tanpa bukti dan rujukan yang tepat.

Hasilnya, umat Islam semakin meyakini bahawa baginda meninggalkan warisan yang membina peradaban rahmat, kesejahteraan dan keamanan. Umat Islam tetap positif bahawa usaha keamanan dan kedamaian harus dilakukan dan mesti diteruskan walau berhadapan apa jua keadaan jenayah yang berlaku di dunia ini.

Islam agama kesejahteraan dan ia tidak pernah mendorong kezaliman atau jenayah.

(ARTIKEL SUMBANGAN USTAZ HUSAINI MADINAH)

Sunday, April 26, 2009

KURSUS INDUKSI SSM KUMPULAN 1 BILANGAN 1/2009

Saya telah mendapat surat jemputan pada 16 April yang lepas. maka bergegaslah menyiapkan segala kelengkapan di saat-saat akhir.Kursus yang dihadiri adalah seperti berikut :

Tarikh : 17 - 30 April
Tempat : Borneo Paradise Beach Hotel, Kota Kinabalu, Sabah
Anjuran : Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan
Peserta : 94 orang guru (Labuan + Sabah)

Walau apa pun, syukur pada Allah SWT atas rezeki ini. Bayangkan baru berkhidmat kurang dari 4 bulan sudah dipanggil ke kursus induksi. borang permohonan baru sahaja diserahkan kepada pihak jabatan seminggu sebelumnya.

doakan yang terbaik atas segala urusan.syukur pada Mu ya Allah

Sunday, December 14, 2008

BERKAT REZEKI KERANA SEDEKAH

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?' Nabi Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu' . Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.

1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.

2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.

3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal

4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.

6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.

7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia – tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam ayat Quran Ali Imran ayat 92

9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat - bukan dunia untuk dunia)

10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan) . Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi Rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para Nabi dan Rasul di akhirat kelak. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.

11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru 'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'

Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.

Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta - belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.

Tuesday, September 23, 2008

SUCI DIRI


Tinggal seminggu sahaja lagi kita akan menjengah tirai Aidil Fitri dan terpaksa meninggalkan gerbang Ramadhan. Dalam fenomena ini ada 2 situasi: ada yang gembira dan ada pula yang menangis. Bagi yang gembira menyambut kedatangan Aidil Fitri, itulah kelaziman & kebiasaannya ummat Melayu yang cukup sinonim dengan sambutan Hari Raya Puasa. Manakala yang menangisi untuk meninggalkan Ramadhan, mereka inilah yang amat beruntung di akhirat kerana menangisi pemergian Ramadhan, Madrasah Barokah wa Rohmah wa Tarbiyyah. Mereka ini menganggap pertemuan dengan Ramadhan yang akan datang sebagai sesuatu yang belum pasti di tahun hadapan.

Di penghujung bulan inilah masing-masing berebut-rebut dan bersesak-sesak. Itupun ada 2 golongan: yang merebut-rebut untuk mendapatkan reward Lailatul Qadr dan satu golongan lagi berebut-rebut dan bersesak-sesak untuk tidak melepaskan peluang jualan hebat di “Lailatul Pasar”.

Apa yang menariknya di celah-celah kesibukan itu ada yang masih mengingati satu lagi kewajipan selepas berpuasa di bulan Ramadhan iaitu kewajipan zakat fitrah. Inilah peak hours untuk amil-amil bertugas di segenap ceruk mengutip zakat fitrah dari ummat Islam. Satu perbualan hangat anak muda Islam ketika berbuka puasa dirakamkan di sini:

A : “Eh, fitrah tahun ni berapa ha?”
B : “tak silap RM 5.20, macam tahun lepas...”
A : “budak umah aku sorg tu jadi amil Kedah, bayar kat dia RM 7.00”
B : “eh, mahalnya! walau pun aku ni anak Kedah aku nak bayar kat sinilah, murah skit”
A : hang ni tak patriotik langsung, tak nak tolong sedara senegeri sendiri...apara!”
B : “hehehe, pulus syeh..kena jimat time sume barang naik ni..”

Inilah sebahagian perbualan anak muda sekarang.Ini pun kira dah baik, sebab nak jugak tunaikan kewajipan Rukun Islam ini walau pun mencari alternatif yang lebih ekonomik.

Untuk panduan bersama berikut adalah kadar zakat fitrah 2008 / 1429H bagi negeri-negeri di Malaysia;

KualaLumpur RM5.20
Labuan RM5.20
Putrajaya RM5.20
Johor RM6.50
Kedah RM7.00
Kelantan RM7.60
Melaka RM6.30
N.Sembilan RM6.50
Pahang RM7.30
Perak RM7.00
Perlis RM5.00/RM7.00
P.Pinang RM7.30
Sabah RM7.70
Sarawak RM7.50
Selangor RM5.20
Terengganu RM6.00/RM7.00/RM8.00

Kalau boleh, bayarlah awal supaya dapat disampaikan lebih awal kepada asnaf zakat. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadan dan sunat membayarnya selepas fajar Aidilfitri hingga waktu solat hari raya, tetapi makruh membayarnya selepas solat terbabit dan ia tidak dikira zakat, sebaliknya sedekah, seterusnya jatuh haram membayarnya apabila berakhirnya satu Syawal.

Monday, September 22, 2008

SI KALDAI YANG LAPAR

Arakian kalinya kita masih dapat menjengah ke tirai Syawal dan sudah menjadi satu kemestian kita disibukkan membuat persiapan untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Raya masing-masing. Bagi sahabat-sahabat yang bergelar suami, buntu untuk menentukan giliran balik kampung serta persediaan sepanjang perjalanan balik kampung. Ada yang memperuntukan pemberian bonus oleh kerajaan dijadikan sebagai duit minyak dan tol untuk balik beraya di kampung, termasuklah perbelanjaan servis kereta. Bagi sahabiah yang bergelar seorang ibu pula, masa inilah sibuk menyiapkan kelengkapan busana suami dan juga anak-anak. Menjadi satu kepuasan di hati bila ahli keluarga tampak segak bergaya mengenakan pakaian baru sempena Hari Raya, Hari Kemenangan umat Islam mengharungi ’peperiksaan’ Ramadhan.

Kemenangan itu berupa kejayaan melawan hawa nafsu setelah ’coach’nya telah di’ISA’kan oleh Rabbul Izzati selama tempoh 30 hari dalam tahanan. Ini bermakna umat Islam bebas tanpa dihasut, di’didik’ dan dimotivasikan oleh ’coach’ masing-masing selama tempoh itu. Tindakan Allah Taala menangkap makhluk penghasut ini di bawah ISA sebenarnya bagi menjaga keamanan umat Islam beribadah dan bagi menjamin kestabilan ekonomi umat Islam ketika berbelanja di bazar-bazar Ramadhan, shopping complex dan gerai-gerai jualan sempena Hari Raya. Walaupun begitu baik strategi yang disusun olehNya, kita umat Islam masih gagal mengawal nafsu kita yang tidak pernah puas dengan sesuatu. Inilah kejayaan didikan dan ’tarbiah’ makhluk penghasut itu selama 11 bulan sebelum ini.

Disamping kesibukan tersebut, ada yang masih memikirkan hal keduniaan semata-mata tanpa melihat persiapan akhirat untuk mengadapNya, Tuhan yang Maha Esa. Dengan silibus yang telah disusun olehNya sepanjang pakej kursus dalam Universiti Ramadhan untuk melahirkan graduan bertaqwa. Timbul persoalan, ”Berapa ramaikah umat Islam yang mampu menamatkan pakej kursus Universiti Ramadhan sehingga mencapai anugerah ’graduan bertaqwa’?” (rujuk Surah Al-Baqarah : 183)

Adakah kita salah seorang daripadanya?Marilah sama-sama kita mengadakan post mortem diri masing-masing dimana letaknya diri kita ini kalau bukan sebagai salah seorang ’graduan bertaqwa’ sebelum menjengah akhir Ramadhan ini. Sekiranya tidak, masih ada waktu untuk kita tebus diri untuk kita menggondol segulung ijazah dan bergelar ’graduan bertaqwa’. Sekiranya kita membiarkan ia berlalu begitu sahaja, kita tidak ubah seperti seekor kaldai yang kelaparan berpuasa sepanjang bulan bersama kaldai-kaldai yang lain.

Wednesday, July 9, 2008

KEDUDUKAN UMNO DALAM PILIHANRAYA UMUM KE-12 : SUATU ANALISIS SOSIO-POLITIK

Pada pilihanraya Umum (PRU) ke-12 yang lalu, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO bukan sahaja gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat malah hilang kekuasaan di empat negeri ; Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Proses resosialisasi rakyat Malaysia telah menunjukkan taringnya sebagai tuntutan utama ke arah perubahan mendadak dan peringatan abadi untuk kepimpinan UMNO. Ia berlaku tanpa dirancang dan sejagat tetapi bervariasi. Ini menunjukkan Malaysia sudah melangkah setapak ke arah Negara Maju dengan adanya beberapa petunjuk sebegini.

Pada masa yang sama kekuasaan PAS di Kelantan sedikit pun tidak tergugat, malah turut memenangi satu daripada 10 buah kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Keadaan ini menyebabkan orang Melayu mula mempersoalkan kedudukan orang Melayu sekarang.

Orang Melayu mula mempersoalkan kewibawaan UMNO yang dianggap tidak berupaya menjamin kedudukan orang Melayu. Orang Melayu turut berasa risau tentang kedudukan keistimewaan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Sekarang timbul soal ”ketuanan Melayu” yang disalahertikan oleh orang bukan Melayu sebagai Malay Supremacy atau keagungan kuasa Melayu. Istilah ini tidak membawa maksud Melayu menjadi tuan kepada bukan Melayu. Gagasan ini adalah untuk menyedarkan orang Melayu tentang kedudukan mereka sebagai peneraju politik sejak zaman sebelum merdeka lagi.

Sebenarnya, masyarakat sentiasa memerhatikan pendekatan kerajaan untuk menyelesaikan pelbagai isu yang berbangkit. Namun banyak yang kecewa kerana kerap kali melihat barisan kepimpinan kerajaan tidak memperlihatkan kematangan dalam menangani sesuatu isu. Pemimpin UMNO dilihat gagal berkhidmat dengan baik bagi membela nasib rakyat kerana lebih cenderung berpolitik untuk kelangsungan periuk nasi masing-masing dan kroninya.

Antara faktor yang menyebabkan orang Melayu beralih arah terhadap UMNO ialah parti itu sudah semakin hilang visi asalnya iaitu untuk memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa Melayu, Bahasa Melayu, budaya Melayu, ekonomi Melayu dan darjat Islam sebagai agama rasmi Persekutuan turut berada dalam keadaan teancam.

Selain itu, banyak pemimpin UMNO menjadi mangsa ekonomi pasaran sehingga mengakibatkan rasuah menjadi amalan biasa – rasuah politik dan rasuah peribadi. UMNO juga semakin lama semakin tidak menghormati budaya demokrasi dalam parti, sehingga mutu kepimpinan Melayu-UMNO tidak cekap. Banyak pemimpin UMNO sendiri yang melanggar kehendak, visi, dan matlamat asal perjuangan parti.

Kebanyakan pemimpin UMNO tidak pandai berhujah dengan pintar untuk mempertahankan dasar kebangsaan yang baik untuk negara dan menagkis kritikan pihak berkepentingan dari kaum lain terhadap hak dan warisan bangsa Melayu. Bahkan pemimpin UMNO sering bertolak ansur kepada tuntutan kaum lain yang tidak menguntungkan semua kaum.

Adalah sesuatu yang amat aneh bahawa buat pertama kalinya dalam sejarah politik UMNO, UMNO gagal untuk membaca perubahan masyarakat dan membuat perubahan segera untuk mengadaptasi perubahan tersebut bagi menjaga survival UMNO sendiri. Krisis kepimpinan, ketidakcekapan pemerintahan dalam mengurus sumber negara, kejutan budaya, kebingungan dalam mencari arah, menfokus kepada faktor-faktor dalaman adalah faktor-faktor yang memberi ruang untuk Pakatan Rakyat bernafas dalam politik negara.

Media memainkan peranan yang penting dalam perubahan sosial. Ia beritndak sebagai agen sosial yang menepati citarasa kini rakyat Malaysia. Pihak media sedar mereka bukan sahaja bertanggungjawab memberi info telus, boleh dipercayai untuk rakyat yang menyokong satu parti, tetapi kepada rakyat yang menyokong pelbagai parti.

Sikap prejudis dan berat sebelah perlu disedari memualkan rakyat terutamanya Pakatan Rakyat yang disokong 49.71 % rakyat. Semua rakyat berhak mendapat informasi yang lebih bijak dan matang serta first class, bukan lagi informasi yang mempunyai tahap laporan tahun 1960 an atau zaman Jepun dan tertutup serta tidak dinyatakan dengan hujah rasional tetapi hanya dengan lontaran ‘dungu'. Informasi dan aktiviti kebaikan dari pelbagai parti yang memerintah samada Negara dan negeri mestilah diberi secara baik dan membangun bukannya asyik ‘berat sebelah'.

Rakyat yang mual dengan liputan berat sebelah media kerajaan mula mencari media alternatif seperti laman web, blog, akhbar alternatif seperti HARAKAH, WASILAH, SIASAH dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Ini membuatkan rakyat mengadili sesuatu isu secara adil tanpa berat sebelah. Rakyat kini sudah mampu menjadi hakim kepada kerajaan.

Sudah ramai rakyat Malaysia yang bijak serta mampu menilai sejauh mana bijaknya pemimpin peringkat negeri dan negara dalam menangani setiap teguran dan cadangan yang membina lagi baik. ‘Memperbodohkan' intelek rakyat berpelajaran adalah satu ketidakcerdikan yang nyata. UMNO tidak boleh lagi memperbodohkan orang Melayu disebabkan pendidikan merupakan salah satu struktur sosial yang mampu menjadi pemangkin perubahan sosial.

Kongres Permuafakatan Melayu yang berlangsung pada 2 Mei 2008 hingga 4 Mei 2008 merupakan kesan daripada rasa tidak puas hati orang Melayu apabila kedudukan dan haknya dicabar. Apatah lagi kedaulatan raja yang menaungi orang Melayu turut dicabar dan dipertikaikan tanpa mempedulikan sensitiviti kaum mahupun Perlembagaan.

Barisan pemimpin kerajaan BN, khususnya UMNO berhadapan dengan suasana sosio-politik yang amat mencabar. Lebih-lebih lagi ada permintaan Ahli-Ahli Parlimen BN sendiri dari Sabah supaya keanggotaan kabinet yang dikatakan tidak adil dikaji semula. Hal ini ditambah lagi dengan desas desus Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak yang dipengaruhi untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Cabaran paling getir yang besar kemungkinan akan dihadapi oleh Pakatan Rakyat ialah cabaran ideologi politik. Parti-parti politik yang bergabung di bawah gagasan Pakatan Rakyat terutamanya PAS dan DAP mempunyai ideologi politik yang tersendiri. PAS dengan Islamnya manakala DAP dengan ’democratic socialism’. Parti PKR sendiri tidak begitu jelas ideologi politiknya. Besar kemungkinan ia lebih mirip kepad campuran antara unsur ’liberalisme’ dan ’demokrasi’. Secara spesifik, Islam bukanlah satu ideologi atas perkiraan bahawa ideologi adalah satu bentuk pemikiran ciptaan manusia: tetapi sebagai satu ’sistem pemikiran’, maka Islam juga dari sudut ini merupakan ’ideologi’.

Adalah sesuatu yang wajar sekiranya diberi peluang untuk melebarkan sayap rahmatnya ke seluruh negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Ini berdasarkan model Kelantan yang setakat ini mampu melahirkan dasar-dasar Islam yang sederhana yang menguntungkan semua pihak, Islam dan bukan Islam. Hakikat ini tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak sekiranya mereka dan tidak mempunyai agenda politik yang terselindung. Apa yang menarik ialah prinsip ’KEADILAN SOSIAL’ telah secara tersirat diterima pakai oleh ketiga-ketiga parti komponen Pakatan Rakyat. Terbentuknya gagasan ke arah ’NEGARA BERKEBAJIKAN’ sebagai intipati kepada manifesto pilihanraya baru-baru ini adalah hasil terjemahan ’KEADILAN SOSIAL’.