Monday, April 5, 2010

REFLEKSI 1 : STATISTIK DALAM PENDIDIKAN

Pagi ini bermulanya pengajian subjek ke-3 bagi pertemuan pertama. Di awal sesi Dr. Arsay ada memperbetulkan persepsi kami sebelum ini yang menganggap subjek Statistik ini berkaitan dengan kemahiran pengiraan (matematik). Kerisauan yang terbuku selama ini dalam pemikiran saya sudah terungkai dengan sesi brainstorming tadi. Statistik sebenarnya menekankan bagaimana data itu diintrepretasikan berdasarkan sampel yang ada yang mewakili sesebuah populasi.

Seterusnya Dr. Arsay ada menjelaskan skema pemarkahan bagi subjek ini. Ia meliputi tugasan Refleksi 10%, Article Review 10% dan Project 30%. Baki 50% belum lagi dimaklumkan setakat ini. Apa-apa pun pemberatan markah keseluruhan, saya perlu membuat persediaan pembelajaran yang teratur dan tersusun supaya dapat memaksimakan pengetahuan saya dalam bidang ini yang dapat membantu saya dalam menyiapkan Kertas Projek Sarjana.

Kami dimaklumkan bahawa kami perlu memiliki program SPSS sebagai alat dalam penganalisaan data. Data itu terbahagi kepada dua iaitu : ‘primary data’ dan ‘secondary data’. Statistik dapat difahami terbahagi kepada dua iaitu ; deskriptif dan infrential. Deskriptif hanya memerlukan satu pembolehubah sahaja manakala infrential memerlukan lebih dari satu pembolehubah. Dalam penjelasan ini, saya memahami bahawa saya akan menggunakan statistik infrential iaitu Ujian-t, ANOVA dan Khi Kuasa Dua dalam penyelidikan saya nanti.

Dalam metodologi penyelidikan, terdapat pelbagai metodologi boleh digunakan seperti eksperimen, kajian tinjauan, kajian lapangan, kajian analisis, kajian sejarah, kajian perbandingan dan kajian penilaian. Dalam pelbagai metodologi ini, penyelidikan saya nanti akan menggunakan kajian eksperimen. Maka dengan itu, saya lebih jelas untuk melakukan penyelidikan nanti. Walau bagaimana pun, Literature Review diperlukan di dalam kajian untuk memperolehi pengetahuan dan menimba pengalaman dari kajian-kajian penyelidik lain.

Di dalam statistik deskriptif, kita akan membiasakan diri dengan menggunakan pengukuran kecenderungan memusat iaitu min, median dan mod. Setelah perbincangan dan latihan sebentar tadi maka jelaslah konsep min, median dan mod ini. Cumanya kekaburan masih berlaku pada lakaran graf mengenai konsep leptokurtik, mesokurtik dan platikurtik. Saya mengandaikan konsep-konsep ini akan dijelaskan pada sesi yang berikutnya nanti.

No comments: