Monday, April 5, 2010

REFLEKSI 2 : STATISTIK DALAM PENDIDIKAN

Konsep leptokurtik, mesokurtik dan platikurtik yang masih menjadi persoalan pada sesi kuliah pagi masih belum terjawab. Pada hemat saya, mungkin belum sampai masanya untuk diperjelaskan oleh Dr. Arsay. Saya masih menantikan jawapan dan penjelasan mengenai persoalan yang dibangkitkan oleh Dr. Arsay mengenai satu kes pencapaian anaknya yang bernama Zaitun yang memperolehi keputusan Bahasa Melayu 80 markah manakala Matematik 40 markah itu. Ini menjadikan masa rehat saya dipenuhi dengan pergelutan untuk mencari jawapan yang tepat mengenainya.

Sesi kelas petang bermula dengan penuh debaran untuk menantikan beberapa penjelasan berikutnya dari Dr. Arsay. Pada hemat saya, Dr. Arsay bukanlah seorang yang garang dan menggerunkan seperti yang diwar-warkan sebelum ini, tetapi beliau mempunyai sifat tegas dan tindakannya tidak boleh dijangka. Sekali lagi penekanan diberikan oleh beliau mengenai data yang hendak dianalisis mesti data yang normal. Sekiranya data itu tidak normal, maka perlulah melalui proses ‘pembersihan’. Manakala data dari kecenderungan memusat (central tendency) tidak mencukupi untuk menerangkan sesuatu fenomena. Oleh itu, varians diperlukan untuk menjelaskan sesuatu fenomena.

Bagi tajuk berikutnya (varians & standard deviation), tumpuan sepenuhnya harus diberikan supaya saya tidak ketinggalan sebagaimana sesi pagi. Contoh dan formula yang diterangkan oleh Dr. Arsay agak terlalu pantas bagi saya dan rakan sebelah. Mungkin andaian Dr. Arsay terhadap kami yang dikatakan agak terkehadapan itu sebenarnya hanya meliputi golongan minoriti sahaja, maka terkebil-kebillah saya cuba memahami konsep tersebut dengan pantas dengan contoh yang terhad. Akhirnya, hasil bantuan rakan sekeliling semasa tempoh perbincangan yang diberikan membuatkan kami berdua memahaminya. Kajian kes mengenai pencapaian Zaitun terjawab dengan penjelasan Dr. Arsay mengenai perkaitan antara varians, standard deviation dan standard score. Barulah saya lebih memahami penggunaan dan aplikasi varians, standard deviation dan standard score ini dengan kaedah ‘Problem Based-Learning’ sebegini.

Pada 30 minit terakhir, suasana kembali normal dan santai. Dr. Arsay menggunakan pembentangan slaid untuk membuat sesi ulangkaji mengenai konsep-konsep yang dijelaskannya pada sesi pagi tadi. Input baru yang diperolehi ialah mengenai jenis-jenis data. Ini memberikan saya gambaran data-data yang bakal saya perolehi selepas ini terbahagi kepada beberapa jenis seperti nominal, ordinal, interval dan ratio. Daripada keempat-empat jenis data ini, data ratio mempunyai intrepertasi yang kuat untuk menggambarkan/mewakili sesuatu fenomena. Maka selepas ini, saya akan cuba mengumpul data-data dari jenis ratio dalam penyelidikan saya.

No comments: