Monday, April 5, 2010

REFLEKSI 2 : STATISTIK DALAM PENDIDIKAN

Konsep leptokurtik, mesokurtik dan platikurtik yang masih menjadi persoalan pada sesi kuliah pagi masih belum terjawab. Pada hemat saya, mungkin belum sampai masanya untuk diperjelaskan oleh Dr. Arsay. Saya masih menantikan jawapan dan penjelasan mengenai persoalan yang dibangkitkan oleh Dr. Arsay mengenai satu kes pencapaian anaknya yang bernama Zaitun yang memperolehi keputusan Bahasa Melayu 80 markah manakala Matematik 40 markah itu. Ini menjadikan masa rehat saya dipenuhi dengan pergelutan untuk mencari jawapan yang tepat mengenainya.

Sesi kelas petang bermula dengan penuh debaran untuk menantikan beberapa penjelasan berikutnya dari Dr. Arsay. Pada hemat saya, Dr. Arsay bukanlah seorang yang garang dan menggerunkan seperti yang diwar-warkan sebelum ini, tetapi beliau mempunyai sifat tegas dan tindakannya tidak boleh dijangka. Sekali lagi penekanan diberikan oleh beliau mengenai data yang hendak dianalisis mesti data yang normal. Sekiranya data itu tidak normal, maka perlulah melalui proses ‘pembersihan’. Manakala data dari kecenderungan memusat (central tendency) tidak mencukupi untuk menerangkan sesuatu fenomena. Oleh itu, varians diperlukan untuk menjelaskan sesuatu fenomena.

Bagi tajuk berikutnya (varians & standard deviation), tumpuan sepenuhnya harus diberikan supaya saya tidak ketinggalan sebagaimana sesi pagi. Contoh dan formula yang diterangkan oleh Dr. Arsay agak terlalu pantas bagi saya dan rakan sebelah. Mungkin andaian Dr. Arsay terhadap kami yang dikatakan agak terkehadapan itu sebenarnya hanya meliputi golongan minoriti sahaja, maka terkebil-kebillah saya cuba memahami konsep tersebut dengan pantas dengan contoh yang terhad. Akhirnya, hasil bantuan rakan sekeliling semasa tempoh perbincangan yang diberikan membuatkan kami berdua memahaminya. Kajian kes mengenai pencapaian Zaitun terjawab dengan penjelasan Dr. Arsay mengenai perkaitan antara varians, standard deviation dan standard score. Barulah saya lebih memahami penggunaan dan aplikasi varians, standard deviation dan standard score ini dengan kaedah ‘Problem Based-Learning’ sebegini.

Pada 30 minit terakhir, suasana kembali normal dan santai. Dr. Arsay menggunakan pembentangan slaid untuk membuat sesi ulangkaji mengenai konsep-konsep yang dijelaskannya pada sesi pagi tadi. Input baru yang diperolehi ialah mengenai jenis-jenis data. Ini memberikan saya gambaran data-data yang bakal saya perolehi selepas ini terbahagi kepada beberapa jenis seperti nominal, ordinal, interval dan ratio. Daripada keempat-empat jenis data ini, data ratio mempunyai intrepertasi yang kuat untuk menggambarkan/mewakili sesuatu fenomena. Maka selepas ini, saya akan cuba mengumpul data-data dari jenis ratio dalam penyelidikan saya.

REFLEKSI 1 : STATISTIK DALAM PENDIDIKAN

Pagi ini bermulanya pengajian subjek ke-3 bagi pertemuan pertama. Di awal sesi Dr. Arsay ada memperbetulkan persepsi kami sebelum ini yang menganggap subjek Statistik ini berkaitan dengan kemahiran pengiraan (matematik). Kerisauan yang terbuku selama ini dalam pemikiran saya sudah terungkai dengan sesi brainstorming tadi. Statistik sebenarnya menekankan bagaimana data itu diintrepretasikan berdasarkan sampel yang ada yang mewakili sesebuah populasi.

Seterusnya Dr. Arsay ada menjelaskan skema pemarkahan bagi subjek ini. Ia meliputi tugasan Refleksi 10%, Article Review 10% dan Project 30%. Baki 50% belum lagi dimaklumkan setakat ini. Apa-apa pun pemberatan markah keseluruhan, saya perlu membuat persediaan pembelajaran yang teratur dan tersusun supaya dapat memaksimakan pengetahuan saya dalam bidang ini yang dapat membantu saya dalam menyiapkan Kertas Projek Sarjana.

Kami dimaklumkan bahawa kami perlu memiliki program SPSS sebagai alat dalam penganalisaan data. Data itu terbahagi kepada dua iaitu : ‘primary data’ dan ‘secondary data’. Statistik dapat difahami terbahagi kepada dua iaitu ; deskriptif dan infrential. Deskriptif hanya memerlukan satu pembolehubah sahaja manakala infrential memerlukan lebih dari satu pembolehubah. Dalam penjelasan ini, saya memahami bahawa saya akan menggunakan statistik infrential iaitu Ujian-t, ANOVA dan Khi Kuasa Dua dalam penyelidikan saya nanti.

Dalam metodologi penyelidikan, terdapat pelbagai metodologi boleh digunakan seperti eksperimen, kajian tinjauan, kajian lapangan, kajian analisis, kajian sejarah, kajian perbandingan dan kajian penilaian. Dalam pelbagai metodologi ini, penyelidikan saya nanti akan menggunakan kajian eksperimen. Maka dengan itu, saya lebih jelas untuk melakukan penyelidikan nanti. Walau bagaimana pun, Literature Review diperlukan di dalam kajian untuk memperolehi pengetahuan dan menimba pengalaman dari kajian-kajian penyelidik lain.

Di dalam statistik deskriptif, kita akan membiasakan diri dengan menggunakan pengukuran kecenderungan memusat iaitu min, median dan mod. Setelah perbincangan dan latihan sebentar tadi maka jelaslah konsep min, median dan mod ini. Cumanya kekaburan masih berlaku pada lakaran graf mengenai konsep leptokurtik, mesokurtik dan platikurtik. Saya mengandaikan konsep-konsep ini akan dijelaskan pada sesi yang berikutnya nanti.

Sunday, March 21, 2010

Refleksi Kuliah Pertama SGDC 5023 (Evaluation of Teaching)

Saya Sebagai Guru
Saya dilantik sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) mulai 5 Januari 2009, setelah berjaya menamatkan pengajian program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Malaya pada tahun 2008. Penempatan pertama saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan. Saya merupakan anggota baru bagi Panitia Pendidikan Islam di sekolah tersebut. Amanah dan tugas yang terpikul amat berat kerana Guru Pendidikan Islam bukan sahaja sebagai guru untuk mengajar bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, tetapi amanah dan tugas tersebut tidak terhad kepada membantu pelajar mencapai pencapaian yang baik dalam peperiksaan sahaja. Para pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya sering mengingatkan kami bahawa kami seharusnya dan sewajibnya berperanan sebagai muallim, muaddib, mudarris, murabbi dan mursyid. Maka amanah dan tugas tersebut tidak terhad di dalam bilik darjah dan kawasan sekolah sahaja, ia juga meliputi luar sekolah, bersama masyarakat sekeliling dan penduduk setempat.

Harapan
Setelah menamatkan kuliah di kampus UUM pada hujung tahun lepas, saya menarik nafas lega untuk sementara waktu bagi merehatkan badan dan emosi yang sebelum ini agak tertekan dengan jadual yang agak padat, pembentangan individu/berkumpulan dan tugasan yang perlu disiapkan pada masa yang telah ditetapkan. Pada bulan pertama dan kedua tahun 2010, saya banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk menyiapkan tugasan-tugasan kuliah secara individu dan berkumpulan. Akhirnya semua tugasan dapat disiapkan mengikut masa sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak pensyarah.

Namun kini saya bersua lagi dengan sesi kuliah yang baru bagi sesi 2010 yang dijadualkan pada cuti persekolahan bulan Mac. Setelah meneliti jadual dan mata pelajaran yang akan diambil pada kali ini, disenaraikan tiga mata pelajaran yang akan dipelajari dalam tempoh tersebut. Salah satunya ialah SGDC 5023 (Evaluation of Teaching) yang akan dibimbing sepenuhnya oleh Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff, Pengarah Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC). Saya rasa amat bertuah kerana mata pelajaran kali ini sudah diberikan nota-nota lebih awal menerusi laman web Education Training Center di bawah kelolaan Dr. John Laurence supaya para pelajar lebih bersedia untuk menghadapi sesi kuliah.

Perkara yang terfikir dalam pemikiran saya sebelum melangkahkan kaki ke sesi kuliah ialah seperti berikut :
1. Konsep penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran
2. Prinsip-prinsip asas dalam penilaian
3. Penilaian Formatif dan Sumatif
4. Aspek-aspek penilaian
5. Keberkesanan penilaian

Semangat ingin tahu terhadap perkara-perkara di atas semakin membuak-buak setelah tamat sesi kuliah bagi mata pelajaran SGDC 5033 (Models of Instruction) di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Mohd Izam bin Ghazali. Namun pada sesi pagi bagi kelas hari pertama, persoalan-persoalan sebelum ini telah terjawab secara umum dengan penjelasan ringkas oleh Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff. Namun input secara mendalam akan diperolehi kemudian menerusi bimbingan Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff serta bacaan-bacaan tambahan dari artikel-artikel jurnal yang berkaitan.

Apa yang terlintas di fikiran saya sebelum ini mengenai tugasan mata pelajaran ini ialah di akhir sesi kuliah saya dikehendaki menyiapkan satu set soalan ujian dengan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU), sebagaimana yang saya lalui semasa menduduki program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Malaya pada tahun 2008. Namun apa yang dibentangkan oleh Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff ialah saya dan rakan-rakan dikehendaki menyiapkan 3 tugasan berikut :

1. Pembentangan secara berkumpulan
2. Critical Article Review
3. Portfolio / Refleksi

Tugasan-tugasan di atas membawa markah 20% kecuali Portfolio/Refleksi membawa markah sebanyak 40%, manakala kuiz di akhir sesi kuliah akan membawa markah 20%. Jumlah keseluruhan markah ialah 100%. Selain itu, saya dan rakan-rakan dibimbing untuk bagaimana menghasilkan Critical Article Review dengan baik. Ada 11 perkara yang perlu disentuh dan dikupas dengan jelas terutama sekali 3 perkara terakhir yang memerlukan input refleksi secara kritis diberikan. 3 perkara akhir ini yang akan menentukan sesebuah Critical Aritcle Review dihasilkan baik ataupun sederhana mutunya. Selain itu, penerangan ringkas serta panduan lengkap menghasilkan sebuah tugasan berkumpulan mengenai topik “Student-Centred Learning” disampaikan secara terperinci oleh Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff. Maka dengan garis panduan dan skema pemarkahan ini mengingatkan saya bahawa perlunya satu strategi pembelajaran yang baik dan tersusun. Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff juga mengingatkan saya dan rakan-rakan agar menghantar tugasan-tugasan sebelum atau tepat pada masa yang ditetapkan serta menghantar terus ke alamat yang telah diberikan oleh beliau menerusi kad perniagaan (business card).

Kuliah diteruskan lagi dengan penerangan mengenai konsep dan terminologi bagi ujian, pengukuran, pentaksiran dan penilaian. Pada mulanya saya agak keliru dengan konsep-konsep ini, tetapi setelah pembentangan dan penjelasan yang diberikan oleh Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff menerusi jadual perbezaan yang mengandungi pengertian (definition), matlamat (aims), metodologi (methods), tempoh masa (timing), keterbatasan (coverage) dan keputusan (decisions) maka kekeliruan saya sudah pun terungkai sedikit demi sedikit. Untuk memastikan pemahaman yang lebih mendalam dan jitu, saya memerlukan bacaan-bacaan tambahan serta perbincangan lanjut dengan rakan-rakan.

Selepas selesai konsep-konsep ini dijelaskan, maka saya dan rakan-rakan berpeluang melihat bagaimana konsep ini diimplementasikan dalam dunia pendidikan. Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff telah menerangkan dengan mudah berdasarkan kaedah pengurusan grafik iaitu dengan membina segitiga yang menggambarkan ‘dimensi hubungan penilaian dalam pendidikan’. Kaedah pengurusan grafik berbentuk segitiga ini mengingatkan saya dengan tugasan dan pembentangan kumpulan bagi semester lepas mengenai “Konsep Penyelesaian Masalah : Teori Triachic” yang dikemukakan oleh Profesor John Stenberg. Tugasan inilah yang menyebabkan saya dan seorang rakan sekumpulan tidak dapat tidur nyenyak selama 3 malam berturut-turut sebelum hari pembentangannya. Itulah cabaran dan dugaan kami ketika itu. Walau bagaimanapun, dengan izin Allah, tugasan dan pembentangan tersebut berjaya disempurnakan dengan jayanya.

Selanjutnya saya dan rakan-rakan didedahkan semula dengan kaedah penilaian formatif dan sumatif. Masing-masing sudah mengetahui secara asas, cuma tambahannya ialah perbincangan lanjut mengenai sejauhmana penilaian formatif dan sumatif ini membantu tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ada sebahagian rakan-rakan memberikan respon berdasarkan pengalaman di sekolah. Setelah perbincangan berakhir, kami semua menikmati tempoh rehat yang agak suntuk (60 minit) berbanding dengan 2 hari sebelumnya yang memakan masa 90 minit. Keputusan memendekkan masa rehat ini rupanya ‘memerangkap’ kami serta pensyarah. Keputusan ini perlu dinilai semula oleh semua rakan-rakan serta pensyarah yang terlibat demi kemaslahatan dan kebajikan bersama menikmati masa rehat yang secukupnya.

Sesi petang dimulakan dengan perbincangan dalam kumpulan. Kumpulan telah dibentuk awal pada sesi pagi. Saya dan rakan-rakan sekumpulan diminta untuk memahami sebuah artikel jurnal yang bertajuk “A Comparison of Three Modes of Student Ratings of Teacher Performance”. Kami mengambil masa yang agak lama untuk memahami intipati artikel ini, seterusnya mengadakan perbincangan dua hala merumuskan isi kandungan artikel ini serta membuat refleksi secara kolektif. Kemudian, seorang wakil kumpulan diminta untuk membentangkan isi perbincangan di hadapan kelas. Kami berpendapat bahawa penilaian yang telah dibuat oleh pengkaji/penulis artikel ini relevan untuk dilaksanakan kerana ia menggunakan Authentic Assessment. Walau bagaimanapun, kegagalan bagi mod yang ketiga perlu dikaji sebabnya. Oleh itu, kami mencadangkan agar diadakan penilaian secara berkumpulan yang mempunyai persekitaran, tempoh dan kemudahan yang sama.

Amalan Penilaian di Sekolah
Sepanjang tempoh saya bertugas selama setahun yang lepas, saya akui bahawa saya kurang menitikberatkan aspek penilaian di dalam pengajaran dan pembelajaran. Setelah dibimbing oleh Guru Kanan Bidang dan Ketua Panitia, saya membuat beberapa penambahbaikan terhadap amalan penilaian di dalam pengajaran dan pembelajaran saya tahun ini. Maka dengan itu saya melazimkan diri saya dengan 3 perkara iaitu :
1. membuat soal jawab mengenai sub topik yang telah diajar sebelumnya setiap kali kelas dimulakan terhadap setiap orang pelajar sebelum mereka duduk.
2. memberikan latihan bertulis kepada pelajar berdasarkan Latihan Penilaian di dalam Buku Teks setiap kali tamat sesi pengajaran dan pembelajaran secara konsisten.
3. memeriksa latihan yang diberikan sesegera yang mungkin dan membuat refleksi bersama pelajar pada sesi pengajaran dan pembelajaran berikutnya.

Alhamdulillah dengan izin Allah, amalan ini masih berterusan hingga ke saat ini. Walau pun sesetengah pihak mengandaikan ia masih belum mencukupi, tetapi bagi saya ia sudah memadai sebagai satu permulaan yang baik dan berterusan. Saya yakin bahawa perubahan besar yang diimpikan bermula dengan perubahan kecil hari ini.

Sunday, February 14, 2010

MEMPERINGATI PERJUANGAN IMAM AS-SYAHID HASSAN AL-BANNA


Pada hari ini 12.2.2010, genap 61 tahun syahidnya Imam Hasan Al-Banna, pengasas jemaah Ikhwan Muslimin, sebuah organisasi Islam paling berpengaruh di dunia pada hari ini. Ketika dibunuh beliau berumur semuda 43 tahun , namun asas Fikrah dan Manhaj perjuangan Islam yang beliau asaskan berjaya mengumpul 3-4 juta rakyat Mesir ketika itu dan hingga ke hari ini terus tertanam kukuh dan berkembang pesat mengharungi cabaran sepanjang zaman dan mengatasi brbagai tentangan Kini gerakan Ikhwan Muslimin terdapat dalam lebih dari 100 buah negara di dunia, menyumbang bakti kepada umat Islam dengan penuh kasih sayang disamping ia tegas dan penuh berani mempertahankan umat dari serangan-serangan sengit musuh Islam diberbagai aspek budaya sosial, ekonomi, politik maupun ketenteraan.



Foto Imam Hasan Al-Banna yang terakhir ketika mengimamkan solat Maghrib di markaz pertubuhan Syubban Muslimin, Jalan Ramses, Kaherah. Ketika itu kesemua anggota Ikhwan Muslimin yang berpengaruh telah dipenjarakan, kecuali beliau seorang kerana dia menjadi sasaran untuk dibunuh. Ketika beliau keluar dari markaz ini, beliau ditembak di tepi Jaan Ramses dan meninggal dunia syahid di Hospital Qasr Aini, Kaherah lantaran arahan pihak atasan agar beliau dibiar bersendirian tanpa rawatan sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Diantara ciri-ciri keistimewaan dakwah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hasan Al-Banna ialah :

1. Menanam fikrah atau kefahaman Islam yang sahih bersumberkan ilmu dari Al-Quran dan As-Sunnah. Tarbiyah adalah perkara yang terpenting dalam dakwah Ikhwan Muslimin. Dengan ini jalan Dakwahnya jelas, landasannya terang dari awal hingga ke akhir, anggotanya berkualiti dan teguh, sukar untuk menyimpang dari agenda Islam sendiri yang sahih hingga terpaksa mengikut agenda-agenda pihak lain.
2. Syumul dakwah Ikhwan Muslimin sama seperti syumulnya Islam itu sendiri, tidak mengabaikan mana-mana aspek pun samada diaspek ruh, jasad maupun aqal. Dakwahnya juga menggarap semua aspek dan aktiviti ilmiah, riadhah, ekonomi, ikatan ruhani, kebajikan, politik, organisasi dan sebagainya.
3. Dakwah yang berpijak dialam nyata, menggunakan segala wasilah (cara) terkini dalam menyampaikan Islam yang sahih kepada masyarakat, menekankan pembinaan ilmu dan akhlak ahli, mengutamakan kerja yang praktikal lagi produktif berbanding teori dan perdebatan, kesatuan berbanding perpecahan dalam menggembeling tenaga ummah berhadapan dengan cabaran manusia dan zaman.
4. Pergerakan dan fasa Dakwahnya sentiasa serasi dengan Sunnah Allah swt terhadap perjalanan alam dan penciptaanNya. Oleh kerana itu usaha Dakwah ini dibuat sangat bersungguh-sungguh tetapi meyakini perubahan di dalam masyarakat yang akan berlaku adalah dengan beransur-ansur, tidak memilih corak keganasan atau mengangkat senjata, tetapi menumpu kearah mendidik jiwa dan menanam keyakinan kedalam hati dan akal orang ramai sehingga jelas kepada mereka akan Islam dan tuntutannya ke atas mereka untuk turut beramal dan memperjuangkannya. Matlamat Islam zaman kini dicapai bukan sekadar berjaya mencari laluan ke Parlimen semata-mata seperti yang difahami ramai pejuang nasionalis maupun islamis, bahkan ia lebih besar dari itu iaitu dengan membina generasi baru Islam yang memiliki keperibadian Islam sejati, membina keluarga Islam yang kukuh, membentuk masyarakat Islam yang peka dan bersedia memikul tanggungjawab menyebarkan Dakwah ke seluruh alam. Mereka inilah yang memilih, melahir dan merealisasikan Kerajaan Islam dan Negara Islam yang dicita-cita oleh Islam.

[kobanna] [kobanna]

Wahai Ikhwan sekelian. Sungguh ini merupakan nikmat yang besar dan kegembiraan yang melebihi kata-kata dan keterangan apabila Ikhwan berhimpun dan berkasih sayang di jalan Allah taala, datang dari berbagai negeri, tempat-tempat yang berjauhan, berhimpun di tempat yang satu. Bukan ikatan saudara mara, kaum kerabat, keturunan, huubungan perkahwinan, kepentingan kebendaan atau keduniaan yang menghimpunkan mereka. Akan tetapi yang menghimpunkan ialah kasih sayang dijalan Allah, bertemu keranaNya, bekerja untukNya. Terimalah khabar gembira wahai Ikhwah Akhawat dimana saya berharap kita termasuk mereka yang menyambut seruan Allah hari dimana Dia menyeru “Dimanakah mereka yang berkasih sayang keranaKu, dimanakah mereka yang saling ziarah menziarah keranaKu, dimanakah mereka yang duduk bersama keranaKu ? Pada hari ini Aku menaungi mereka dengan keagunganKu iaitu hari yang tiada sebarang naungan selain naunganKu”. Sungguh kamu telah menerima undangan, segera datang, berhimpun di perhimpunan yang meriah ini, tatkala kita melihat banyak perhimpunan-perhimpunan lain berlaku kemudian ia habis begitu sahaja, diulangi berulang kali namun ia tetap tidak membuahkan apa-apa lantaran berlakunya perpecahan hati dan terdapat perbezaan hawa dan selera. Adapun perhimpunan ini, ia mengesahkan kesatuan hati-hati kamu, pertautaan ruh-ruh kamu, keteguhan ikatan kamu. Mudah-mudahan Allah menjaga dan menjadikannya ikhlas demi mencari wajah dan keredhaanNya”. [Hasan Al-Banna 11 Zulhijjah 1353H] (Foto: Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna pada 30.1.2010, 2 minggu lalu, anjuran Ikatan Muslimin Malaysia].

Semoga ALlah swt menerima segala amalan beliau, memaafkan kesalahannya dan memasukkannya ke dalam Syurga Firdaus bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhadak dan Solohin. Merekalah sebaik-baik teman di Akhirat kelak.

dipetik dari blog www.inijalanku.wordpress.com (us halim)