Monday, January 28, 2008

PEMBELAJARAN MINGGU KE 4 : PPSMI


Minggu kali ini bermula dengan baik walau pun terpaksa meletakkan motorsikal jauh dari bangunan kuliah, sedangkan sebelum ini agak berdekatan. Ini semua angkara setelah menerima saman dari pihak Keselamatan UM minggu lepas. Ramai sahabat-sahabat DPLI yang teraniaya memandangkan kami masih baru di Kampus Perdana UM ini. Sebelum memulakan tugasan, saya sempat menjengah ke laman blog Saudara Husaif http://mhusaif.blogspot.com/ yang cukup menarik. Terbukti Saudara Husaif memang pakar dan berpengalaman dalam pembikinan blog peribadi semasa di Universiti Al-Azhar, Mesir. Syabas sahabatku Husaif!

Pembelajaran bermula dengan beberapa pembetulan terhadap pemarkahan subjek Teknologi dan Inovasi dalam Pendidikan ini yang dimaklumkan oleh Cik Chin. Mengikut pro forma asal, kaedah penilaian melalui Peperiksaan berjumlah 40% manakala melalui Penilaian Berterusan berjumlah 60%. Walau bagaimanapun, perubahan telah dibuat dimana penilaian melalui Peperiksaan berjumlah 60% manakala Penilaian Berterusan berjumlah 40%. Bagi Penilaian Berterusan ini, 20% adalah untuk “Interactive White Board”, 10% untuk Tugasan Berkumpulan dan 10% untuk Blogging. Ini bermakna kami terpaksa berkerja keras untuk Peperiksaan nanti yang berjumlah 60% untuk memperolehi gred A dalam subjek ini, insya Allah.

Pembelajaran diteruskan lagi dengan pembentangan oleh Cik Chin berkenaan “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris” (PPSMI @ ETeMS) menerusi laman web : http://www.tutor.com.my/tutor/etems. Pelbagai input diperolehi melalui laman web ini termasuk objektif program, matlamat program, rancangan pengajaran dan juga modul-modul yang berkaitan bagi menjayakan PPSMI ini di dalam penggunaan medium Bahasa Inggeris.

Selain itu, satu lagi laman web yang dapat membantu dalam program PPSMI ini ialah http://myschoolnet.ppk.kpm.my/indexi.htm. Ia juga seperti laman web : http://www.tutor.com.my/tutor/etems yang menggunakan medium Bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, laman web http://myschoolnet.ppk.kpm.my/indexi.htm menggunakan medium Bahasa Melayu, maka ia lebih mudah difahami oleh saya. Antara motif yang dapat diambil dari pembelajaran hari ini ialah mendedahkan kepada bakal guru mengenai program PPSMI serta bahan-bahan sokongan yang berkaitan bagi membantu para guru dalam pengajarandan pembelajaran di dalam kelas.

Persoalan ?
1. Kenapa subjek Pendidikan Islam tidak terdapat di dalam laman web http://www.tutor.com.my/tutor/ ?
2. Apa yang dimaksudkan dengan “ pembelajaran masteri”?



Monday, January 21, 2008

PEMBELAJARAN MINGGU KETIGA : TEKNOLOGI & SEKOLAH BESTARI

Permulaan minggu ketiga yang kurang baik, saya bersama beberapa orang rakan lain tersalah masuk kelas di tingkat 2. Agak memalukan tetapi mujurlah pensyarah terbabit agak spoting. Akhirnya kami masuk ke kelas sebenar dalam keadaan Cik Chin sudah pun menantikan para pelajarnya.


Pengisian kelas minggu ketiga ini bermula dengan pengisian Borang Pre-Test yang mengambil masa 10-15 minit untuk siap diisi oleh saya. Kemudian kelas diteruskan lagi dengan pembentangan slaid pertama yang bertajuk "INOVASI & TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN" yang dikelolakan oleh Cik Chin. Satu persatu slaid dihurai dengan baik oleh Cik Chin. Antara yang menarik perhatian saya ialah tajuk "MODELS & STRATEGY", yang menghuraikan dari aspek pendekatan dalam pengajaran & pembelajaran dalam kelas. Barulah kami lebih memahami kepentingan instrumen ICT ini dalam pengajaran & pembelajaran dalam kelas nanti.


Kelas diteruskan lagi dengan sesi pembentangan slaid kedua yang bertajuk "PEMBESTARIAN SEKOLAH". Pendedahan diberikan kepada kami semua berkenaan kewujudan Sekolah Bestari di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, satu sistem sekolah yang berorientasikan ICT sepenuhnya dalam pembelajaran dan pengajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Dari sini saya mula mengenali kewujudan SchoolNet dan seedwiki, satu penemuan yang menakjubkan.

Instrumen pembelajaran hari ini menggunakan "smartboard". Wah! sungguh menakjubkan teknologi ICT dalam sekolah masakini. Cumanya yang bertuah hari ini ialah Saudara Abdullah, yang telah menjadi pengguna pertama "smartboard". Mungkin selepas ini ramai lagi sahabat-sahabat yangberpeluang untuk menggunakan "smartboard" ini di Fakulti Pendidikan UM ataupun di sekolah-sekolah.

Persoalan ?
1. Sejauhmanakah penggunaan ICT dalam pengajaran & pembelajaran ini membantu peningkatan prestasi akademik murid/pelajar?
2. Bagaimanakah nasib murid/pelajar luar bandar yang tidak dapat menikmati kemudahan sebegini?

Sunday, January 20, 2008

PEMBELAJARAN MINGGU KEDUA : SUATU INOVASI DALAM DIRI

Kelas minggu kedua seperti biasa, saya melangkah masuk ke dalam kelas dengan lebih bersemangat setelah minggu sebelumnya sudahpun diterangkan tentang kandungan kursus menerusi pro forma. Terima kasih Cik Chin.

Kali ini kami dimaklum dan diarahkan agar membentuk 3 kumpulan. Setiap kumpulan akan dibimbing oleh Prof. Dr. Saedah, Cik Chin dan Cik Umi. Maka saya dimasukkan ke dalam kumpulan di bawah bimbingan Cik Chin. Maka kami pun dibawa ke makmal komputer. Maka bermulalah pembelajaran amali dengan bimbingan Cik Chin.

Pertama sekali saya mengisi butiran diri pangkalan data di alamat : http://uk.groups.yahoo.com/group/DipEd_2008/. Maka kami sudahpun ada yahoogroups sendiri sesama sahabat-sahabat lain. Masing-masing berpeluang bertukar-tukar pandangan menerusi alam maya. Antara kelebihan lain ialah : dapat mengakses nota-nota pembelajaran secara terus dari pensyarah.

Kemudian, saya mendaftarkan emel di GMAIL bagi tujuan membuka blog sendiri. Saya rasa sungguh bertuah kerana mendapat bantuan dan bimbingan dari sahabat seperti Shahnaz dan juga Nizam untuk mendaftarkan gmail tersebut. Terima kasih sahabatku.

Selepas itu, saya melawati halaman www.blogspot.com untuk menjinak-jinakkan diri melihat pembikinan blog. Wah! Sungguh mudah rupanya memiliki blog peribadi. Tanpa berlengah lagi saya pun mendaftar sebagai pengguna blog dengan memiliki blog peribadi yang beralamat : http://zulhilmiharon.blogspot.com. Rajin-rajinkanlah melawati blog peribadi saya ini bila berkelapangan. Maka bermulalah era interaksi alam maya dalam diri saya. Sungguh menggagumkan pembelajaran dan inovasi kelas minggu kedua kali ini.

Persoalan ?
1. Kenapa yahoomail atau hotmail tidak lagi dapat diterima sebagai alamat daftar di www.blogspot.com?
2. Dimana saya dapat mengakses internet secara mudah dan ekonomi di dalam Kampus Perdana UM ini?

HIJRAH SATU TUNTUTAN

Perjalanan hidup ini tidak selalunya mudah. Adakalanya kita harus berubah dan berhijrah dari satu keadaan kepada satu kedaan yang lebih baik. Begitulah jua dengan kehidupan yang saya alami. Sejak di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) lagi, saya berhijrah di saat-saat akhir daripada aliran sains kepada sastera. Walau bagaimanapun, dengan berkat usaha pelbagai pihak terutamanya doa kedua ibubapa yang mengharapkan saya ke bidang agama akhirnya saya berjaya. Saya melanjutkan pengajian ke Pra Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) di Nilam Puri, Kelantan sebelum memasuki kampus induk Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Selang empat tahun kemudian, Ijazah Sarjana Muda Syariah pengkhususan Fiqh & Usul saya berjaya perolehi. Kemudian saya ditawarkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai Penolong Pengurus Bahagian Bina Ummah. Kemudiannya, saya pulang ke tempat asal setelah ditawarkan untuk berkhidmat sebagai Eksekutif Zakat di Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK).

Bekerja dengan salah satu badan berkanun negeri tidak semudah yang disangka. Pelbagai ragam dan karenah yang perlu saya hadapi. Biar orang berkata, “Wah, untungnya dapat duduk di tempat sendiri” atau “kos hidup di Kedah tak setinggi kami di sini” namun semua itu hanyalah indah khabar dari rupa. Saya sentiasa berusaha untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik. Pelbagai jenis ujian dan temuduga saya hadiri. Namun setelah berumahtangga, saya mengimpikan agar isteri tercinta berkhidmat di dalam bidang pendidikan. Demi memupuk minatnya, kami berdua sama-sama memohon untuk mengikuti program samada KPLI mahupun DPLI. Rupa-rupanya, kami berdua berjaya diterima masuk untuk kedua-dua program tersebut, begitu juga kakak saya. Walau pun begitu, saya kurang berminat kerana menganggap profesion ini hanya boleh dijadikan hobi bukannya karier. Pada masa yang sama, opsyen saya yang pertama untuk mengikuti pengajian ke UPSI (untuk tenaga pengajar Politeknik / Kolej Komuniti) yang mana program berkenaan adalah di bawah KPTM gagal untuk mendapat tempat. Bagi saya, lebih senang mengajar di IPT berbanding di sekolah kerana saya pernah mendapat tawaran KPLI-JQAF ambilan tahun 2005. Tambahan lagi, ekonomi rumahtangga mungkin terjejas jika kami suami isteri sama-sama melanjutkan pelajaran.

Namun begitu, atas dorongan dan nasihat ibu saya sendiri, keluarga, teman-teman rapat serta petunjuk dari Allah setelah melakukan solat istikharah, saya akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan ini (DPLI). Notis perletakan jawatan saya di JZNK tidak sampai pun tempoh sebulan. Saya amat bersyukur kerana tidak dikenakan denda tetapi perlu menyiapkan segala kertas kerja dan projek yang pernah diusulkan sebelum ini. Dengan itu, persiapan untuk masuk semula ke ‘U’ diteruskan. Saya amat gembira kerana kerana bersama-sama isteri tercinta membuat persediaan menyediakan kelengkapan pengajian. Isteri akan ke USM, manakala saya akan ke UM. Ini bermakna kami akan berpisah dan hidup berjauhan selama hampir 10 bulan walau pun baru sahaja mendirikan rumahtangga 6 bulan yang lalu.

Tanggal 2 Januari 2008 saya berangkat ke Kuala Lumpur bersama bekas rakan sebilik di UM dahulu, Cikgu Hilmi Ahmad yang kini bertugas sebagai Kaunselor Sekolah Kebangsaan Sri Bandaraya, Bangsar. Untuk malam pertama sebelum mendaftar, saya menginap di rumahnya yang terletak di Saujana Impian, Kajang. Keesokan harinya, bermulalah episod hidup saya sebagai seorang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dengan mendaftarkan diri di Seksyen Kemasukan Rekod & Dasar (SKRD) Universiti Malaya.