Perjalanan hidup ini tidak selalunya mudah. Adakalanya kita harus berubah dan berhijrah dari satu keadaan kepada satu kedaan yang lebih baik. Begitulah jua dengan kehidupan yang saya alami. Sejak di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) lagi, saya berhijrah di saat-saat akhir daripada aliran sains kepada sastera. Walau bagaimanapun, dengan berkat usaha pelbagai pihak terutamanya doa kedua ibubapa yang mengharapkan saya ke bidang agama akhirnya saya berjaya. Saya melanjutkan pengajian ke Pra Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) di Nilam Puri, Kelantan sebelum memasuki kampus induk Universiti Malaya di Kuala Lumpur. Selang empat tahun kemudian, Ijazah Sarjana Muda Syariah pengkhususan Fiqh & Usul saya berjaya perolehi. Kemudian saya ditawarkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai Penolong Pengurus Bahagian Bina Ummah. Kemudiannya, saya pulang ke tempat asal setelah ditawarkan untuk berkhidmat sebagai Eksekutif Zakat di Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK).
Bekerja dengan salah satu badan berkanun negeri tidak semudah yang disangka. Pelbagai ragam dan karenah yang perlu saya hadapi. Biar orang berkata, “Wah, untungnya dapat duduk di tempat sendiri” atau “kos hidup di Kedah tak setinggi kami di sini” namun semua itu hanyalah indah khabar dari rupa. Saya sentiasa berusaha untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik. Pelbagai jenis ujian dan temuduga saya hadiri. Namun setelah berumahtangga, saya mengimpikan agar isteri tercinta berkhidmat di dalam bidang pendidikan. Demi memupuk minatnya, kami berdua sama-sama memohon untuk mengikuti program samada KPLI mahupun DPLI. Rupa-rupanya, kami berdua berjaya diterima masuk untuk kedua-dua program tersebut, begitu juga kakak saya. Walau pun begitu, saya kurang berminat kerana menganggap profesion ini hanya boleh dijadikan hobi bukannya karier. Pada masa yang sama, opsyen saya yang pertama untuk mengikuti pengajian ke UPSI (untuk tenaga pengajar Politeknik / Kolej Komuniti) yang mana program berkenaan adalah di bawah KPTM gagal untuk mendapat tempat. Bagi saya, lebih senang mengajar di IPT berbanding di sekolah kerana saya pernah mendapat tawaran KPLI-JQAF ambilan tahun 2005. Tambahan lagi, ekonomi rumahtangga mungkin terjejas jika kami suami isteri sama-sama melanjutkan pelajaran.
Namun begitu, atas dorongan dan nasihat ibu saya sendiri, keluarga, teman-teman rapat serta petunjuk dari Allah setelah melakukan solat istikharah, saya akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan ini (DPLI). Notis perletakan jawatan saya di JZNK tidak sampai pun tempoh sebulan. Saya amat bersyukur kerana tidak dikenakan denda tetapi perlu menyiapkan segala kertas kerja dan projek yang pernah diusulkan sebelum ini. Dengan itu, persiapan untuk masuk semula ke ‘U’ diteruskan. Saya amat gembira kerana kerana bersama-sama isteri tercinta membuat persediaan menyediakan kelengkapan pengajian. Isteri akan ke USM, manakala saya akan ke UM. Ini bermakna kami akan berpisah dan hidup berjauhan selama hampir 10 bulan walau pun baru sahaja mendirikan rumahtangga 6 bulan yang lalu.
Tanggal 2 Januari 2008 saya berangkat ke Kuala Lumpur bersama bekas rakan sebilik di UM dahulu, Cikgu Hilmi Ahmad yang kini bertugas sebagai Kaunselor Sekolah Kebangsaan Sri Bandaraya, Bangsar. Untuk malam pertama sebelum mendaftar, saya menginap di rumahnya yang terletak di Saujana Impian, Kajang. Keesokan harinya, bermulalah episod hidup saya sebagai seorang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dengan mendaftarkan diri di Seksyen Kemasukan Rekod & Dasar (SKRD) Universiti Malaya.
1 comment:
semoga dipermudahkan urusan...Robbina Yusahhil!!
Post a Comment