Sunday, March 21, 2010

Refleksi Kuliah Pertama SGDC 5023 (Evaluation of Teaching)

Saya Sebagai Guru
Saya dilantik sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) mulai 5 Januari 2009, setelah berjaya menamatkan pengajian program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Malaya pada tahun 2008. Penempatan pertama saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai, Wilayah Persekutuan Labuan. Saya merupakan anggota baru bagi Panitia Pendidikan Islam di sekolah tersebut. Amanah dan tugas yang terpikul amat berat kerana Guru Pendidikan Islam bukan sahaja sebagai guru untuk mengajar bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, tetapi amanah dan tugas tersebut tidak terhad kepada membantu pelajar mencapai pencapaian yang baik dalam peperiksaan sahaja. Para pensyarah di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya sering mengingatkan kami bahawa kami seharusnya dan sewajibnya berperanan sebagai muallim, muaddib, mudarris, murabbi dan mursyid. Maka amanah dan tugas tersebut tidak terhad di dalam bilik darjah dan kawasan sekolah sahaja, ia juga meliputi luar sekolah, bersama masyarakat sekeliling dan penduduk setempat.

Harapan
Setelah menamatkan kuliah di kampus UUM pada hujung tahun lepas, saya menarik nafas lega untuk sementara waktu bagi merehatkan badan dan emosi yang sebelum ini agak tertekan dengan jadual yang agak padat, pembentangan individu/berkumpulan dan tugasan yang perlu disiapkan pada masa yang telah ditetapkan. Pada bulan pertama dan kedua tahun 2010, saya banyak menghabiskan masa dan tenaga untuk menyiapkan tugasan-tugasan kuliah secara individu dan berkumpulan. Akhirnya semua tugasan dapat disiapkan mengikut masa sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak pensyarah.

Namun kini saya bersua lagi dengan sesi kuliah yang baru bagi sesi 2010 yang dijadualkan pada cuti persekolahan bulan Mac. Setelah meneliti jadual dan mata pelajaran yang akan diambil pada kali ini, disenaraikan tiga mata pelajaran yang akan dipelajari dalam tempoh tersebut. Salah satunya ialah SGDC 5023 (Evaluation of Teaching) yang akan dibimbing sepenuhnya oleh Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff, Pengarah Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC). Saya rasa amat bertuah kerana mata pelajaran kali ini sudah diberikan nota-nota lebih awal menerusi laman web Education Training Center di bawah kelolaan Dr. John Laurence supaya para pelajar lebih bersedia untuk menghadapi sesi kuliah.

Perkara yang terfikir dalam pemikiran saya sebelum melangkahkan kaki ke sesi kuliah ialah seperti berikut :
1. Konsep penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran
2. Prinsip-prinsip asas dalam penilaian
3. Penilaian Formatif dan Sumatif
4. Aspek-aspek penilaian
5. Keberkesanan penilaian

Semangat ingin tahu terhadap perkara-perkara di atas semakin membuak-buak setelah tamat sesi kuliah bagi mata pelajaran SGDC 5033 (Models of Instruction) di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Mohd Izam bin Ghazali. Namun pada sesi pagi bagi kelas hari pertama, persoalan-persoalan sebelum ini telah terjawab secara umum dengan penjelasan ringkas oleh Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff. Namun input secara mendalam akan diperolehi kemudian menerusi bimbingan Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff serta bacaan-bacaan tambahan dari artikel-artikel jurnal yang berkaitan.

Apa yang terlintas di fikiran saya sebelum ini mengenai tugasan mata pelajaran ini ialah di akhir sesi kuliah saya dikehendaki menyiapkan satu set soalan ujian dengan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU), sebagaimana yang saya lalui semasa menduduki program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Malaya pada tahun 2008. Namun apa yang dibentangkan oleh Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff ialah saya dan rakan-rakan dikehendaki menyiapkan 3 tugasan berikut :

1. Pembentangan secara berkumpulan
2. Critical Article Review
3. Portfolio / Refleksi

Tugasan-tugasan di atas membawa markah 20% kecuali Portfolio/Refleksi membawa markah sebanyak 40%, manakala kuiz di akhir sesi kuliah akan membawa markah 20%. Jumlah keseluruhan markah ialah 100%. Selain itu, saya dan rakan-rakan dibimbing untuk bagaimana menghasilkan Critical Article Review dengan baik. Ada 11 perkara yang perlu disentuh dan dikupas dengan jelas terutama sekali 3 perkara terakhir yang memerlukan input refleksi secara kritis diberikan. 3 perkara akhir ini yang akan menentukan sesebuah Critical Aritcle Review dihasilkan baik ataupun sederhana mutunya. Selain itu, penerangan ringkas serta panduan lengkap menghasilkan sebuah tugasan berkumpulan mengenai topik “Student-Centred Learning” disampaikan secara terperinci oleh Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff. Maka dengan garis panduan dan skema pemarkahan ini mengingatkan saya bahawa perlunya satu strategi pembelajaran yang baik dan tersusun. Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff juga mengingatkan saya dan rakan-rakan agar menghantar tugasan-tugasan sebelum atau tepat pada masa yang ditetapkan serta menghantar terus ke alamat yang telah diberikan oleh beliau menerusi kad perniagaan (business card).

Kuliah diteruskan lagi dengan penerangan mengenai konsep dan terminologi bagi ujian, pengukuran, pentaksiran dan penilaian. Pada mulanya saya agak keliru dengan konsep-konsep ini, tetapi setelah pembentangan dan penjelasan yang diberikan oleh Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff menerusi jadual perbezaan yang mengandungi pengertian (definition), matlamat (aims), metodologi (methods), tempoh masa (timing), keterbatasan (coverage) dan keputusan (decisions) maka kekeliruan saya sudah pun terungkai sedikit demi sedikit. Untuk memastikan pemahaman yang lebih mendalam dan jitu, saya memerlukan bacaan-bacaan tambahan serta perbincangan lanjut dengan rakan-rakan.

Selepas selesai konsep-konsep ini dijelaskan, maka saya dan rakan-rakan berpeluang melihat bagaimana konsep ini diimplementasikan dalam dunia pendidikan. Profesor Madya Dr. Nurahimah binti Mohd. Yusoff telah menerangkan dengan mudah berdasarkan kaedah pengurusan grafik iaitu dengan membina segitiga yang menggambarkan ‘dimensi hubungan penilaian dalam pendidikan’. Kaedah pengurusan grafik berbentuk segitiga ini mengingatkan saya dengan tugasan dan pembentangan kumpulan bagi semester lepas mengenai “Konsep Penyelesaian Masalah : Teori Triachic” yang dikemukakan oleh Profesor John Stenberg. Tugasan inilah yang menyebabkan saya dan seorang rakan sekumpulan tidak dapat tidur nyenyak selama 3 malam berturut-turut sebelum hari pembentangannya. Itulah cabaran dan dugaan kami ketika itu. Walau bagaimanapun, dengan izin Allah, tugasan dan pembentangan tersebut berjaya disempurnakan dengan jayanya.

Selanjutnya saya dan rakan-rakan didedahkan semula dengan kaedah penilaian formatif dan sumatif. Masing-masing sudah mengetahui secara asas, cuma tambahannya ialah perbincangan lanjut mengenai sejauhmana penilaian formatif dan sumatif ini membantu tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ada sebahagian rakan-rakan memberikan respon berdasarkan pengalaman di sekolah. Setelah perbincangan berakhir, kami semua menikmati tempoh rehat yang agak suntuk (60 minit) berbanding dengan 2 hari sebelumnya yang memakan masa 90 minit. Keputusan memendekkan masa rehat ini rupanya ‘memerangkap’ kami serta pensyarah. Keputusan ini perlu dinilai semula oleh semua rakan-rakan serta pensyarah yang terlibat demi kemaslahatan dan kebajikan bersama menikmati masa rehat yang secukupnya.

Sesi petang dimulakan dengan perbincangan dalam kumpulan. Kumpulan telah dibentuk awal pada sesi pagi. Saya dan rakan-rakan sekumpulan diminta untuk memahami sebuah artikel jurnal yang bertajuk “A Comparison of Three Modes of Student Ratings of Teacher Performance”. Kami mengambil masa yang agak lama untuk memahami intipati artikel ini, seterusnya mengadakan perbincangan dua hala merumuskan isi kandungan artikel ini serta membuat refleksi secara kolektif. Kemudian, seorang wakil kumpulan diminta untuk membentangkan isi perbincangan di hadapan kelas. Kami berpendapat bahawa penilaian yang telah dibuat oleh pengkaji/penulis artikel ini relevan untuk dilaksanakan kerana ia menggunakan Authentic Assessment. Walau bagaimanapun, kegagalan bagi mod yang ketiga perlu dikaji sebabnya. Oleh itu, kami mencadangkan agar diadakan penilaian secara berkumpulan yang mempunyai persekitaran, tempoh dan kemudahan yang sama.

Amalan Penilaian di Sekolah
Sepanjang tempoh saya bertugas selama setahun yang lepas, saya akui bahawa saya kurang menitikberatkan aspek penilaian di dalam pengajaran dan pembelajaran. Setelah dibimbing oleh Guru Kanan Bidang dan Ketua Panitia, saya membuat beberapa penambahbaikan terhadap amalan penilaian di dalam pengajaran dan pembelajaran saya tahun ini. Maka dengan itu saya melazimkan diri saya dengan 3 perkara iaitu :
1. membuat soal jawab mengenai sub topik yang telah diajar sebelumnya setiap kali kelas dimulakan terhadap setiap orang pelajar sebelum mereka duduk.
2. memberikan latihan bertulis kepada pelajar berdasarkan Latihan Penilaian di dalam Buku Teks setiap kali tamat sesi pengajaran dan pembelajaran secara konsisten.
3. memeriksa latihan yang diberikan sesegera yang mungkin dan membuat refleksi bersama pelajar pada sesi pengajaran dan pembelajaran berikutnya.

Alhamdulillah dengan izin Allah, amalan ini masih berterusan hingga ke saat ini. Walau pun sesetengah pihak mengandaikan ia masih belum mencukupi, tetapi bagi saya ia sudah memadai sebagai satu permulaan yang baik dan berterusan. Saya yakin bahawa perubahan besar yang diimpikan bermula dengan perubahan kecil hari ini.

No comments: